SEJARAH UNIVERSITI AL AZHAR : DULU & KINI

cropped-image11.jpeg

ASAL MASJID AL AZHAR

1.Pada tahun 359 Hijrah bersamaan 970 Masihi, Komander Jauhar As Saqiliy, Pemerintah tentera di zaman Al Muiz Li Dinillah, Pemerintah Dinasti Fatimiah di Mesir membuka kota Kaherah untuk dijadikan Ibu Negara Kerajaan Fatimiah.Pada tahun yang sama, Sebuah masjid didirikan dan dinamakan pada peringkat awalnya sebagai Masjid Kaherah sempena nama Ibu Negara Mesir.

2.Pembinaan masjid itu bermula pada 24 Jamadil Awal tahun yang sama dan siap sepenuhnya dua tahun selepas itu.Solat pertama didirikan pada 7 atau 9 Ramadhan 361 Hijrah bersamaan 972 Masihi.

3.Nama Masjid AL AZHAR menurut Prof Dr Zaki Muhammad ‘Anis, Professor di Jabatan Sejarah Universti Al Azhar datang terkemudian atau semasa pemerintahan Abdul Aziz Billah (365 – 382 Hijrah), atau lebih tepat lagi selepas pembinaan Istana AL ZAHIRAH.Terdapat tiga teori kenapa Masjid Kaherah ditukar nama kepada Masjid Al Azhar menurut beliau.

– TEORI PERTAMA mengatakan, nama Masjid AL AZHAR sempena nama Istana Al Zahirah.

– TEORI KEDUA pula menyebut, nama AL AZHAR diambil dari perkataan AL ZAHER yang bermaksud, cerah, bersinar atau berkembang, sebagai sebuah motivasi dengan mengharapkan Masjid itu akan berkembang dan bersinar memainkan peranan penyebaran ilmu – ilmu Islam.

– TEORI KETIGA yang diterima oleh ramai sejarawan dan ulama-ulama AL AZHAR pula mengatakan, AL AZHAR adalah sempena nama salah seorang anak Perempuan Baginda Nabi Muhammad S.A.W, Sayyidah Fathimah AL Zahra’ yang berkahwin dengan Saidina Ali R.A dan kerajaan Dinasti Fatimi sendiri ketika itu adalah nama yang dinisbahkan dengan beliau.

TUJUAN MASJID AL AZHAR

4.Pada asalnya, Kerajaan Dinasti Fathimi mendirikan masjid ini sebagai masjid negara dan pusat penyebaran Syiah, simbolik kedaulatan kerajaan yang berasaskan kerohanian.Masjid Al Azhar di zaman dinasti Fatimi ini turut berperanan sebagai sidang mahkamah, Parlimen dan sebagainya.

5.Sudah menjadi tradisi zaman itu, atau lebih tepat lagi sistem pendidikan di zaman itu, Masjid adalah merupakan tapak pengajian atau institusi pendidikan.Selain masjid Al Azhar, turut memainkan peranan yang sama ialah Masjid Toulun dan Masjid Amru Bin Al ‘As.

6.Oleh kerana Syiah adalah ajaran baru di Mesir ketika itu, maka, Masjd Al Azhar adalah pusat pengajian Mazhab Syiah dan pengajian Fekh dan Qiraat adalah subjek keutamaan.Kelas pengajian pertama diadakan adalah pada tahun 369 Hijrah yang dikendalikan oleh Yaakob Bin Kalis yang mengajar Fekh kitab karangan beliau.Kelas ini turut dihadiri oleh para hakim dan pembesar negara.

7.Sesi pengajian di Masjid Al Azhar ketika itu mempunyai ramai tenaga pengajar dan didatangi oleh ramai pelajar.Biasiswa turut diberikan kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian di Masjid Al Azhar.

SULTAN AL AYYUBI DAN AL AZHAR

8.Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang yang mendirikan kerajaan dan dinasti di Mesir adalah pemerintah Islam yang memerangi ajaran Syiah dan penyebar ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

9.Melihat peranan penting Al Azhar sebagai sebuah institusi ulung pendidikan yang mendapat perhatian kerajaan dan mendapat sambutan yang luas, sistem pendidikan di AL AZHAR diubah dari pusat penyebaran Syiah kepada pusat ilmu dan dakwah Ahli Sunnah wal jamaah yang bermazhab Syafei pada 567 Hijrah.Pengajaran SYIAH dan KHUTBAH SYIAH dilarang bermula saat itu hingga hari ini.

10.Mengikut mazhab Syafei, dalam satu Qariah, hanya satu sahaja Masjid yang boleh didirikan Solat Jumaat.Oleh yang demikian, solat Jumaat hanya diadakan di sebauh Masjid lain dan solat Jumaat tidak diadakan dalam Masjid AL AZHAR selama 100 tahun di bawah dinasti AL AYYUBI.

11.Selepas tamat Dinasti AL AYYUBI, Mesir diperintah Dinasti AL MAMALIK dan solat Jumaat didirikan kembali pada tahun 665 Hijrah dengan amalan AHLI SUNNAH WAL JAMAAH mengguna pakai mazhab rasmi kerajaannya, Mazhab Hanafi.

12.Mazhab Hanafi membenarkan solat Jumaat didirikan di banyak masjid dalam satu Qariah dan ini berkekalan hingga hari ini.Sebab itulah di Mesir, jarak antara masjid – masjid yang mendirikan solat jumaat amat hampir antara satu sama lain sehingga pelajar kita di Mesir hari ini mudah untuk membezakan antara masjid yang pendek atau panjang khutbahnya.

CUBAAN TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN AL AZHAR

13.Sejak Ahli Sunnah Wal jamaah mengambil alih pengajian di Masjid Al Azhar, pengajian pelbagai Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah diadakan.Banyak Halaqah ilmu diadakan dan dari situ lahirnya pelbagai ulama terkenal dan sarjana Islam yang terkenal hingga hari ini yang sumbangannya bukan sedikit dalam dunia Islam.Antaranya,Ibnu Hajar Al Asqalani, Syeikh Al Baijuri dan sebagainya.Bahkan terdapat kata-kata bebrapa tokoh yang mengatakan, ketokohan ulama masa kini mesti dicelup walau sebentar di Al Azhar.

14.Sesuai dengan peredaran zaman, sistem pengajian hanya secara halaqah – halaqah perlu diubah sesuai.Pengajian secara KITAB TERTENTU SAHAJA diubah kepada MANHAJ ILMU.Oleh yang demikian, sebuah usaha pembaharuan dilakukan bermula pada tahun 1872 Masihi atau di zaman dinasti Muhammad Ali Bahsa.

15.Sistem pendidikan amat rapat dengan polisi politik kerajaan yang memerintah.Jika gagal sistem pendidikan, maka sistem kerajaan juga akan turut menjadi kerajaan yang gagal.Oleh yang demikian, antara asas pembinaan negara baru dinasti Muhammad Ali Basha pada tahun 1805 ialah transformasi sistem pendidikan untuk menjadikan Mesir setaraf dengan Barat atau Eropah.

16.Pada tahun 1826, Muhammad Ali Basha memperkenalkan polisi Menghantar Cerdik Pandai Mesir ke Luar Negara.Al Azhar sebagai sebauh institusi pendidikan ulung di Mesir terpilih untuk mengikuti program berkenaan.

17.Ramai pelajar-pelajar Al Azhar ketika itu dihantar melanjutkan pengajian ke Paris untuk mempelajari metodologi-metodologi ilmu baru sebagai satu langkah kearah pembaharuan atau transformasi ilmu dengan memasukkan medotologi kajian modern dalam ilmu yang dikuasai.Dari polisi kerajaan dan program inilah lahirnya Syeikh Rif ‘at At Tahtawi.Walaubagaimana pun, usaha ini mendapat tentangan ulama-ulama yang berfikiran lama.Seruah-seruan pembaharuan mula kedengaran dan paling lantang ketika akhir kurun ke 19 ialah Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Jamaluddin Al Afghani.

MULA TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN AL AZHAR

18.Pada tahun 1872, di zaman Syeikh Muhammad Al Abbasi Al Mahdi sebagai Syeikhul Azhar, sebuah undang-undang mula digubal untuk memperbaharui sistem pendidikan Al Azhar merangkumi Metod Pengajian, Sistem Pentadbiran dan sistem peperiksaan mula diperkenalkan iaitu Ijazah Antarabangsa atau Al Syahadah Al Alamiah dimana, para pelajar yang mahu mendapat ijazah tersebut perlu menghadapi sesi peperiksaan secara lisan di hadapan beberapa syeikh yang dilantik dari kalangan ulama Al Azhar.

19.Di zaman Syeikhul Azhar Al Marhum Syeikh Salem Al Bashari pula, sebuah lagi akta Al Azhar diperkenalkan pada tahun 1911, akta bernombor 10 tahun 1911.Akta ini dianggap amat penting dalam proses transformasi Al Azhar dalam masa yang sama, kekal menjaga medotologi ilmu dan pengajarannya, dan melalui akta ini, kuasa Syeikhul Azhar ditentukan, Majlis Tertinggi Ulama Al Azhar dan Jemaah Ulama-ulama besar Al Azhar ditubuhkan, Para Syeikh Mazhab-mazhab yang empat diwujudkan dimana setiap mazhab mempunyai seorang Syeikh dan memasukkan ilmu-ilmu baru dalam sistem pengajian Al Azhar.

SISTEM KULIAH DIPERKENALKAN

20.Sesuai dengan peredaran zaman, pengajian di Al Azhar dikaji semula di Zaman Syeikhul Azhar Syeikh Muhmmad Al Ahmadi, dan hasilnya terbentuk akta bernombor 49 Tahun 1930.Jika akta sebelum-sebelum ini memperuntukkan transformasi yang merangkumi pentadbiran Al Azhar, kali ini, Akta ini hanya khusus tertumpu kepada Sistem Pengajian Al Azhar sahaja.

21.Dengan akta baru ini, sistem pengajian Al Azhar bukan lagi secara halaqah-halaqah di Masjid Al Azhar, sebaliknya sistem baru ini membentuk formaliti pengajian bermula seawal di peringkat rendah, menengah yang dikenali sebagai Maahad Ad Diniah Al Ilmiah Al Islamiah (hari ini dikenali sebagai Maahid Al Azhariah atau Maahad – maahad Al Azhar).

22.Setelah selesai sistem pengajian di peringkat menengah di Maahad, seterusnya pengajian diteruskan di peringkat kuliah takhassus yang menyerupai Universiti walaupun pada ketika itu belum disebutkan secara rasmi sebagai Universiti atau Jamiah.Kuliah ditawarkan pada ketika itu hanya TIGA (3) kuliah sahaja iaitu Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab sahaja.

SYEIKH AL MARAGHI TOKOH TRANFORMASI AL AZHAR

23.Akhirnya, Al Azhar mempunyai sistem yang sama di peringkat antarabangsa seperti yang diamalkan di semua institut pengajian tinggi di zaman Syeikhul Azhar, Syeikh Muhammad Mustafa Al Maraghi yang memegang tampuk pemerintahan Al Azhar dari tahun 1935 hingga 1945.

24.Sebuah Akta bernombor 26 Tahun 1936 digubal untuk melengkapkan proses transformasi Al Azhar bagi membentuk sebuah institusi bertaraf antarabangsa, maka, tertubuhlah Universiti Al Azhar sebagai akta pertama yang membuka laluan tertubuhnya Universiti Al Azhar walaupun sebenarnya sistemnya bermula hampir 1000 tahun sebelumnya.

25.Sistem yang diperkenalkan ini, bukan lagi bersifat MEMPELAJARI KITAB SEMATA, bahkan MEMPELAJARI ILMU DAN METODOLOGI ILMU.Dengan sistem baru ini, Al Azhar sama taraf dengan semua institusi bertaraf antarabangsa, dan mempercepatkan proses melahirkan cendikiawan dan sarjana Islam.Dengan sistem ini, lahir banyak ulama terkenal, antaranya Prof Dr Ramadhan Buthi, Prof Dr Wahbah Al Zuhayli, dan banyak lagi tokoh agamawan bertaraf antarabangsa yang mempunyai banyak tinggalan ilmiah walaupun telah meninggal dunia dan tokoh yang dilahirkan Al Azhar itu melangkaui geografi dan benua di dunia.

26.Sebenarnya, banyak sumbangan beliau dalam proses rangka transformasi ini dan usaha ke arah lebih memperkemaskan Al Azhar walaupun dalam masa yang singkat, iaitu sekitar sepuluh tahun pentadbirannya.Beliau meninggal dunia pada 22 Ogos 1945.Jika beliau hidup lebih lama, pasti lebih banyak pembaharuan dilakukan.

27.Walaupun beliau telah meninggal dunia, proses pembaharuan tersusun itu difahami oleh pengganti-pengganti beliau kerana beliau telah meletakkan asas yang kukuh dan difahami oleh generasi seterusnya.

28.Kuliah Al Azhar bertambah dari hanya tiga kuliah yang fokus bidang agama kepada lebih banyak kuliah melalui penstrukturan semula pentadbiran Al Azhar pada tahun 1961 selepas Akta bernombor 103 AL AZHAR digubal.Ketika itu, Syeikh Muhammad Syaltut adalah merupakan Syeikhul Azhar.

29.Selepas akta ini digubal, beberapa kuliah baru diwujudkan seperti MUAMALAT atau PENTADBIRAN PENIAGAAN, FAKULTI PENGAJIAN ISLAM KAMPUS WANITA, KEJURUTERAAN, PERUBATAN, PERTANIAN, PENDIDIKAN dan akta ini membuka ruang kepada Al Azhar untuk membuka fakulti-fakulti baru.

30.Walaupun pengajian ilmu menggantikan pengajian kitab, Al Azhar tetap tidak meninggalkan sistem pengajian turath atau kitab kuning yang merupakan khazanah asal ilmu – ilmu Islam yang ditulis oleh ilmuan dan sarjana Islam sejak sekian lama.

31.Bagi kuliah syariah, pengajian subjek utama seperti Fekh dan Usul Fekh, pengajian kitab turath secara tekstual merupakan sebahagian dari manhaj pengajian dan ini akan dibahaskan dalam bahagian akan datang berkenaan MANHAJ PENGAJIAN AZHARI.

32.Adalah telalu dangkal bagi sesiapa yang menganggap sistem pengajian di universiti secara kuliah adalah jauh dari MANHAJ AZHARI daN tidak layak dipanggil AZHARI.Berdasarkan kajian sejarah ini membuktikan, pengajian secara MANHAJ atau PENGAJIAN ILMU adalah salah satu transformasi Al Azhar berbanding pengajian secara KITABI atau menghabiskan kitab dari jilid ke jilid, kerana ianya memakan masa yang lama.Bayangkan, jika manhaj kitabi dijadikan asas, sudah barang tentu untuk menghabiskan pengajian FEKH sahaja terdapat puluhan bahkan mungkin ratusan kitab yang perlu dihabiskan!! Berapa lamakah masa yang perlu diperuntukkan untuk menamatkan ijazah sarjana muda?

33.Para Syeikh terdahulu membuat pembaharuan atau transformasi untuk kita berjalan seiring dengan zaman yang dilalui kerana Syariat Islam itu sesuai di setiap zaman dan tempat.

34.Walau bagaimana pun, pengajian tradisional secara KITABI tetap diteruskan di RUWAQ-RUWAQ atau anjung-anjung yang terdapat di sekitar AL AZHAR.Ianya bersifat TAMBAHAN dan BUKAN ASASI.Jika ada masa, pergilah, jika tidak, fahami dan khadami manhaj di kuliah adalah memadai.Talaqqi bukan hanya bermaksud duduk bersila lutut bertemu lutut, bahkan makna talaqqi itu luas sesuai dengan keadaan semasa.

35.Kesederhanaan Al Azhar dalam konteks ini terserlah.Jika tidak, pasti pengajian kitab – kitab turath dimansuhkan dalam manhaj Al Azhar.Jika anda pelajar syariah, bukankah MINHAJ AT TALIBIN sedang dikuasai? Manhajnya dibahaskan dalam sesi kuliah!!! Untuk subjek Usul Fekh, Nihayatul Sul karangan Imam Isnawi juga manhaj pengajian.Kedua-duanya kitab turath akan tetapi apa yang diajarkan adalah manhaj, bukan jilid ke jilid.Dari kitab itu, kita akan mudah membuka kitab-kitab lain.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *